• UM Law Society

Asas Undang-Undang Fitnah di Malaysia

“Apabila seseorang kalah dalam perdebatan, maka fitnah akan menjadi alat bagi si kalah”

Socrates, 470–399 BC


Kebanyakan tort tidak diperuntukkan di dalam statut-statut di Malaysia. Namun begitu, fitnah (defamation) merupakan satu-satunya pengecualian kepada keadaan tersebut. Fitnah mempunyai statut tersendiri iaitu Akta Fitnah 1957, ia merangkumi dua kategori utama fitnah iaitu slander dan libel. Libel merupakan kenyataan-kenyataan yang menjatuhkan maruah seseorang yang bersifat kekal manakala slander bersifat tidak kekal. Sesuatu kenyataan dikatakan sebagai fitnah apabila ia berkemungkinan besar akan merosakkan imej dan maruah seseorang. Menurut kes Ayob bin Saud v TS Sambanthamurthi,[i] tiga elemen hendaklah dibuktikan bagi membuktikan kes fitnah. Pertama, kenyataan tersebut hendaklah berkemampuan untuk memfitnahkan seseorang; kedua, ia hendaklah merujuk kepada plaintiff dan yang terakhir, ia mestilah diterbitkan.


Merujuk kepada kes fitnah diantara Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Khairy telah memfitnah Anwar dengan tuduhan homoseksual.[ii] Dengan ini, Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya ingin memberikan penerangan lebih lanjut berkenaan isu fitnah.


Pada tahun 2008, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Kesihatan kini, Khairy Jamaluddin atas tuduhan homoseksual yang pada ketika itu, Khairy merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO.[iii] Menurut Anwar, tuduhan tersebut membawa maksud bahawa beliau terlibat dengan hubungan seks luar tabii yang bertentangan dengan ajaran agama Islam sekaligus menyifatkan beliau sebagai seseorang yang tidak bermoral. Sebaliknya, peguam Khairy mendakwa bahawa kenyataan tersebut tidak membawa kepada fitnah serta ia tidak mempunyai maksud seksual yang tersirat. Peguam tersebut juga mendakwa ia adalah “marriage of convenience” diantara parti politik.[iv] Pada 29 September 2017, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa dakwaan Khairy adalah serius dan Khairy telah membuat satu kenyataan fitnah dalam ucapan awam dan ia telah diterbitkan semula di seluruh negara, oleh sebab itu Khairy hendaklah dipertanggungjawabkan keatasnya.


Dalam satu perbicaraan dalam talian yang diadakan pada 7 Februari 2021, satu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Dato’ Lee Swee Seng telah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa tiada kesilapan untuk dirayu. Panel tersebut juga bersetuju dengan Mahkamah Tinggi yang mengatakan kenyataan tersebut merupakan fitnah dari segi analogi dan kiasan, seperti yang dinyatakan oleh hakim.[v]


Mahkamah mengatakan kesan kenyataan tersebut bukannya dari maksud perkataan tersebut sahaja. Dalam undang-undang, kesimpulan daripada perkataan yang digunakan juga diambil kira sebagai maksud natural sesuatu perkataan. Pihak mahkamah juga mengatakan keputusan hakim untuk mengarahkan plaintiff membayar RM150,000 kepada responden sebagai ganti rugi juga tidak keterlaluan, maka Mahkamah Rayuan tidak perlu campur tangan. Justeru, rayuan tersebut ditolak dan Anwar selaku responden mendapat RM50,000 sebagai kos litigasi.[vi]


Sementara itu, Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan plaintiff untuk menukar kenyataan pembelaan dalam kes fitnah ini. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak melakukan apa-apa kesilapan yang boleh dirayu dalam menolak penukaran itu kerana ia difailkan terlalu lambat. Hasil daripada penolakan rayuan ini, mahkamah juga mengarahkan plaintiff untuk membayar RM10,000.


Hasilnya, Mahkamah Rayuan mengarahkan Menteri Kesihatan untuk membayar kos litigasi keseluruhan sebanyak RM60,000 beserta ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Kesimpulannya, undang-undang fitnah bertujuan untuk mempertahankan reputasi dan maruah seseorang. Reputasi merupakan satu perkara penting ketika masyarakat ingin membuat keputusan seperti pengundian, pekerjaan dan perniagaan. Undang-undang fitnah memastikan bahawa reputasi seseorang tidak boleh dijatuhkan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang dibenarkan oleh undang-undang. Oleh itu, kita mestilah berhati-hati ketika membuat sebarang kenyataan atau dakwaan terhadap orang lain. Walaupun anda yakin akan kebenaran kenyataan yang diterbitkan, ia mungkin adalah fitnah terhadap orang lain.


Fikirlah sebelum berkata, semaklah sebelum berkongsi.


Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya 21/22

26 April 2022 E-mel: lawsocietyum@gmail.com Laman sesawang: www.umlawsociety.com


[i] Ayob bin Saud v TS Sambanthamurthi [1989] 1 MLJ 315

[ii] Hafiz Yatim. (2022, February 7) Khairy loses appeal against Anwar for 'main belakang' remark in 2008. The Edge Markets. Retrieved April 11, 2022 from https://www.theedgemarkets.com/article/khairy-loses-appeal-against-anwar-main-belakang-remark-2008

[iii] Rahmat Khairulrijal. (2022, February 7). Khairy fails to set Anwar’s suit. New Strait Times. Retrieved April 12, 2022 from https://www.nst.com.my/news/crime-courts/2022/02/769287/khairy-fails-set-aside-anwar-suit

[iv] Hafiz Yatim. (2022, February 7). Khairy loses appeal against Anwar for 'main belakang' remark in 2008. The Edge Markets. Retrieved April 11, 2022 from https://www.theedgemarkets.com/article/khairy-loses-appeal-against-anwar-main-belakang-remark-2008

[v] Hafiz Yatim. (2022, February 7). Khairy loses appeal against Anwar for 'main belakang' remark in 2008. The Edge Markets. Retrieved April 11, 2022 from https://www.theedgemarkets.com/article/khairy-loses-appeal-against-anwar-main-belakang-remark-2008

[vi] Bernama. (2022, February 7). Appeals court dismisses Khairy’s bid to challenge Anwar’s defamation suit. MalaysiaNow. Retrieved April 11, 2022 from https://www.malaysianow.com/news/2022/02/07/appeals-court-dismisses-khairys-bid-to-challenge-anwars-defamation-suit/