top of page
  • lawsocietyum

Dalihan Tidak Sempurna Akal dalam Perbicaraan Jenayah

“Seseorang bertanggungjawab secara moral jika, dengan pengetahuan mengenai suatu keadaan, dan tanpa dorongan luaran, dia dengan sengaja memilih untuk melakukan perbuatan yang dilarang,”

Aristotle, 500 SM


Sejak tahun 2010, seorang rakyat Malaysia yang kini berusia 34 tahun, sedang menunggu untuk menjalani hukuman mati di Singapura, setelah ditahan kerana menyeludup diamorphine (heroin tulen) ke Singapura pada bulan April 2009. Individu tersebut ialah Nagaenthran Dharmagalingam, seorang lelaki yang mempunyai tahap IQ sebanyak 69 mata, iaitu satu mata di bawah tahap penilaian antarabangsa, i.e. 70 mata, untuk menentukan ketidakupayaan intelek seseorang.[i] Sungguhpun dengan keadaan tidak sempurna akal tersebut, mahkamah di Singapura telah menjatuhkan hukuman mati berdasarkan Seksyen 7 dan Seksyen 33 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 Singapura (APD), yang memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan menyeludup dadah seperti kes Nagaenthran ini. Di Malaysia, selepas Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 berkuatkuasa, tiada lagi hukuman mati mandatori bagi kesalahan menyeludup dadah, sebaliknya mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman yang lebih ringan kepada tertuduh jika tertuduh didapati bersalah.[ii] Berikutan kes ini, Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya ingin membincangkan isu dalihan tidak sempurna akal di dalam perbicaraan jenayah. Dalihan ini diperuntukkan oleh Seksyen 84 Kanun Keseksaan Malaysia dan juga Singapura.


Nagaenthran K. Dharmalingam, seorang warganegara Malaysia, telah ditahan dan dipenjarakan pada tahun 2009 dalam percubaan untuk memasuki Singapura melalui Woodlands Checkpoint, dengan 42.72g diamorphine dijumpai diikat pada bahagian pahanya.


Nagaenthran di dalam pembelaannya berkata bahawa dia tidak mengetahui bahawa dia sedang membawa dadah dan telah diberikan kepadanya di bawah ugutan oleh ‘King’, seseorang yang telah Nagaenthran kenali lebih kurang empat hingga lima bulan sebelum penahanannya. Bagi menyokong dakwaan ugutan tersebut, Nagaenthran mengatakan bahawa dia hanya menyeludup dadah tersebut kerana ‘King’ telah mengugut akan membunuh teman wanitanya, Shalini, jika dia tidak melakukan penyeludupan itu. Semasa perbicaraan, Nagaenthran mengatakan bahawa dia telah diarahkan oleh ‘King’ dan beranggapan bahawa dadah tersebut merupakan suatu produk tertentu dan bukannya dadah terkawal.


Mahkamah memutuskan bahawa dalihan ugutan Nagaenthran tidak berjaya dibuktikan pada imbangan kebarangkalian (balance of probability). Mahkamah berpendapat bahawa walaupun ‘King’ yang memaksa tertuduh untuk menyeludup heroin itu dengan mengugut untuk membunuh Shalini, tertuduh tidak pernah menyebut apa-apa mengenai ugutan tersebut kepada pegawai penyiasat ketika dia disoal siasat pada mulanya. Selain itu, tertuduh juga tidak dapat membuktikan bahawa ‘King’ ialah seorang yang sangat berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut yang mampu untuk memerhatikan tertuduh dan Shalini pada setiap masa. Selanjutnya, keterangan Nagaenthran kepada pegawai penyiasat menunjukkan bahawa dia mempunyai pengetahuan bahawa dia sedang menyeludup dadah jenis heroin.


Akibatnya, dia dijatuhi hukuman mati pada tahun 2010 kerana menyeludup 42.72g heroin, iaitu satu kesalahan dibawah Seksyen 7 APD, yang membawa hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 33 APD. Dia kemudiannya telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukumannya, namun rayuannya telah ditolak pada bulan Julai 2011.[iii]


Walau bagaimanapun, Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura telah dipinda pada tahun 2012 dan mula berkuatkuasa pada bulan Januari 2013, di mana pindaan tersebut memberikan hakim-hakim Singapura budi bicara untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada penyeludup dadah sekiranya dia hanyalah pembawa, dengan syarat Pendakwa Raya mengeluarkan suatu sijil Certificate of Substantive Assistance kerana membantu usaha polis dalam membanteras aktiviti penyeludupan dadah. Terdapat satu lagi syarat untuk mengenepikan hukuman mati iaitu sekiranya dapat dibuktikan bahawa tertuduh menghidapi sebarang penyakit mental yang terbukti telah mengganggu keupayaan mentalnya.[iv]


Apabila pindaan APD itu berkuatkuasa, Nagaenthran membuat rayuan terhadap hukuman berdasarkan penyakit mentalnya, dan kes dia dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi. Walau bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa Nagaenthran gagal membuktikan dia menghidapi penyakit mental yang teruk sehinggakan tanggungan mentalnya terhadap tindakannya terjejas, dan dengan itu mahkamah menolak rayuannya terhadap hukuman. Selain itu, Pendakwa Raya juga tidak mengeluarkan suatu sijil Certificate of Substantive Assistance dibawah Seksyen 33B(2)(b) APD memandangkan dia tidak membantu sebarang usaha polis dalam menghentikan kegiatan penyeludupan dadah.[v]


Suatu petisyen semakan kehakiman telah difailkan oleh Nagaenthran pada 27 Mac 2015 untuk mencabar keputusan Pendakwa Raya yang tidak mengeluarkan sijil Certificate of Substantive Assistance. Walau bagaimanapun, kebenaran untuk semakan kehakiman tersebut ditolak oleh mahkamah. Nagaenthran kemudiannya telah memfailkan rayuan, tetapi telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada tahun 2019 dan mahkamah juga mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi. Dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan juga menyatakan bahawa keterangan Nagaenthran mempunyai percanggahan yang ketara, memyebabkan kredibilitinya terjejas dan sekaligus amat sukar bagi mahkamah untuk mempercayai dalihannya.[vi]


Nagaenthran kemudiannya menghantar suatu petisyen pengampunan kepada Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, yang memohon hukuman matinya ditukar kepada penjara seumur hidup, namun petisyen itu telah ditolak pada 1 Jun 2020, menyebabkan hukuman matinya kekal.[vii] Setelah itu, keluarga Nagaenthran telah menerima sepucuk surat daripada Perkhidmatan Penjara Singapura (PPS) pada 28 Oktober 2021, memaklumkan bahawa tarikh pelaksanaan hukuman mati telah ditetapkan pada 10 November 2021.[viii]


Suatu rayuan telah difailkan oleh Nagaenthran pada tahun 2021 yang mengatakan bahawa dia menghidapi kelemahan mental dan oleh sebab itu dia tidak patut dihukum mati pada 10 November 2021. Mahkamah Tinggi telah menolak rayuan tersebut dengan alasan bahawa Nagaenthran telah kehabisan alasan rayuan sejak tahun 2019, dan dengan itu tiada lagi justifikasi undang-undang untuk tidak menghukum mati Nagaenthran. Nagaenthran memfailkan satu lagi rayuan, tetapi perbicaraan rayuan itu telah dijadualkan semula selepas dia didapati positif COVID-19 pada 9 November 2021. Mahkamah Rayuan kemudiannya memberikan Nagaenthran penggantungan pelaksanaan hukuman mati sebelum dia memfailkan permohonan untuk mengenepikan hukuman matinya, dan tarikh bicara baharu untuk mendengar rayuan Nagaenthran ditetapkan pada 24 Januari 2022.[ix]


Setakat 1 Mac 2022, panel lima hakim Mahkamah Rayuan Singapura telah mendengar dua isu berbangkit dalam permohonan untuk mengenepikan hukuman matinya iaitu, rayuan untuk melarang pelaksanaan hukuman mati dengan alasan bahawa ia bertentangan dengan Perlembagaan Singapura, dan usul untuk membenarkan keadaan mental Nagaenthran dinilai semula oleh panel pakar psikiatri yang baharu.[x] Namun begitu, Nagaenthran hanya akan mengetahui tentang nasibnya pada satu tarikh yang belum ditentukan oleh panel tersebut.


Kes Nagaenthran ini telahpun mendapat perhatian ramai pihak tempatan dan juga antarabangsa. Perkara ini telah menyebabkan adanya bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa awam dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO).


Di Malaysia, ahli-ahli parlimen telah merayu kepada Kerajaan Singapura untuk mengenepikan hukuman mati Nagaenthran dengan hujah bahawa Nagaenthran menghidapi penyakit mental dan tahap kematangan pemikirannya adalah tidak setara dengan umurnya. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengutus sepucuk surat kepada rakan sejawatannya di Singapura, Encik Lee Hsien Loong, memohon supaya Nagaenthran diberikan keringanan.[xi] Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah mengutus sepucuk surat kepada Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, memohon untuk memberikan keringanan kepada Nagaenthran, dimana Presiden Singapura telah membalas surat itu dengan menyatakan bahawa Nagaenthran telah diberikan dengan sepenuhnya proses undang-undang yang wajar, menurut kenyataan jurucakap Kementerian Luar Negeri.[xii]


Di arena antarabangsa, pendirian Singapura telah menerima bantahan daripada sebilangan organisasi hak-hak asasi manusia. Sebagai contoh, Amnesty International telah menyuarakan bantahan terhadap sebarang pelaksanaan hukuman mati, termasuklah kes Nagaenthran ini. Perkara ini dapat dibuktikan apabila Penyelidik Amnesty International Singapura, Rachel Chhoa-Howard, mendesak pihak berkuasa Singapura untuk mendengar rayuan di peringkat global yang membantah pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran, dengan memberikan cadangan supaya suatu moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati diperkenalkan sebagai langkah permulaan untuk penghapusan hukuman mati secara keseluruhan pada masa hadapan.[xiii]


Selanjutnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga menyeru agar Singapura meringankan hukuman mati terhadap Nagaenthran, selaras dengan undang-undang hak-hak asasi manusia antarabangsa, di mana berdasarkan undang-undang antarabangsa itu, negara-negara yang masih mengekalkan hukuman mati haruslah mengehadkan pelaksanaannya kepada kesalahan jenayah yang paling serius sahaja seperti bunuh dengan niat. Menurut pandangan pakar, hukuman mati haruslah dilaksanakan dengan amat jarang, terutamanya terhadap individu-individu yang menghidapi masalah mental yang serius, seperti yang dihidapi oleh Nagaenthran.[xiv]


Kesimpulannya, Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya berharap agar permohonan Nagaenthran akan dibenarkan oleh panel lima hakim Mahkamah Rayuan Singapura tersebut. Kami sesungguhnya percaya bahawa individu yang menghidapi penyakit mental tidak patut dijatuhi hukuman mati. Kami dengan rendah diri mencadangkan agar Nagaenthran dijatuhi hukuman yang lebih ringan, seperti hukuman penjara seumur hidup. Pindaan kepada Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura yang berkuatkuasa pada tahun 2013 telahpun memberikan budi bicara kepada mahkamah untuk menghukum penyeludup dengan hukuman penjara seumur hidup sekiranya penyeludup itu membantu pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan penyeludupan dadah. Malang sekali kes Nagaenthran tidak layak untuk menghujahkan hukuman ini. Sungguhpun begitu, suatu duluan telah ditetapkan di dalam kes sabitan semula Pang Siew Fum kepada hukuman penjara seumur hidup kerana dia disahkan menghidapi kemurungan teruk sehingga menjejaskan tanggungan mentalnya terhadap tindakannya serupa dengan kes Nagaenthran.[xv] Kami berharap agar situasi malang ini tidak berakhir dengan pelaksanaan hukuman mati seorang manusia yang menghidapi kelemahan mental.


Persatuan Undang-Undang UM 21/22

9 Mac 2022

Laman sesawang: www.umlawsociety.com


[i] Paddock, R. C. (2021, November 5). Rights Groups Urge Singapore Not to Execute Man With Mental Disability. The New York Times. https://www.nytimes.com/2021/11/05/world/asia/singapore-capital-punishment-drugs.html

[ii] Office of the High Commissioner for Human Rights. (2021). Malaysia Universal Periodic Review Mid Term. https://www.ohchr.org/Documents/HRBodies/UPR/NGOsMidTermReports/ADPAN_Malaysia.pdf

[iii] Public Prosecutor v Nagaenthran a/l K Dharmalingam [2011] 2 SLR 830.

[iv] Baker, J. A. (2015, January 16). Murderer fails to escape the gallows: 6 other cases involving the revised death penalty laws. The Straits Times. https://www.straitstimes.com/singapore/courts-crime/murderer-fails-to-escape-the-gallows-6-other-cases-involving-the-revised

[v] Nagaenthran a/l K Dharmalingam v Public Prosecutor and another appeal [2019] 2 SLR 216. [vi] Hafiz Hassan. (2021, November 18). The forensic psychiatric evaluation of Nagaenthran. The Malay Mail. https://www.malaymail.com/news/what-you-think/2021/11/18/the-forensic-psychiatric-evaluation-of-nagaenthran-hafiz-hassan/2021745

[vii] Danial Dzulkifly. (2021, November 3). Foreign minister says has raised issue of mentally-impaired Malaysian on death row with Singaporean counterpart. The Malay Mail. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2021/11/03/foreign-minister-says-has-raised-issue-of-mentally-impaired-malaysian-on-de/2018092

[viii] Tan, A. (2021, November 6). Singapore courts found that drug trafficker facing execution knew what he was doing: MHA. The Straits Times. https://www.straitstimes.com/singapore/courts-crime/singapore-courts-found-that-drug-trafficker-facing-execution-knew-what-he-was

[ix] Thomas, J. (2022, January 26). Nagaenthran’s appeal postponed. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/01/26/nagaenthrans-appeal-postponed/

[x] Thomas, J. (2022, January 26). Nagaenthran’s appeal postponed. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/01/26/nagaenthrans-appeal-postponed/

[xi] Devi, V. (2021, Nov 26). Another call for clemency heard for Malaysian on death row. The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/11/26/another-call-for-clemency-heard-for-malaysian-on-death-row

[xii] Channel News Asia. (2021, December 3). Malaysian drug trafficker Nagaenthran Dharmalingam ‘accorded full due process under the law’: President Halimah. Channel News Asia. https://www.channelnewsasia.com/singapore/nagaenthran-dharmalingam-malaysian-drug-trafficker-death-row-halimah-yacob-2355911

[xiii] Amnesty International. (2021, November 29). Singapore: Call of Execution of man with intellectual disability. Amnesty International. https://www.amnesty.org/en/latest/news/2021/11/singapore-death-penalty-case/

[xiv] United Nations. (2021, November 21). Rights Experts urge Singapore to half execution of man with mental disability. UN News. https://news.un.org/en/story/2021/11/1105192

[xv] Hoe Pei Shan. (2015, April 21). 2 death-row traffickers get life term instead. The Straits Times. https://www.straitstimes.com/singapore/courts-crime/2-death-row-traffickers-get-life-term-instead






bottom of page