top of page
  • lawsocietyum

Genosid Yang Tidak Bernegara: Rohingya Myanmar

Pembunuhan kaum adalah percubaan untuk menghapuskan manusia, bukannya mengubah tingkah laku mereka.

- Jack Schwartz


Pembunuhan kaum Rohingnya merupakan salah satu kes pembunuhan kaum berprofil tinggi yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Malaysia merupakan ahli ASEAN dan mempunyai hubungan diplomatik yang rapat dengan Myanmar, hal ini menyebabkan Malaysia membuka sempadan untuk menerima pelarian Rohingnya pada tahun 2016 walaupun Malaysia bukan sebuah parti kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan protokolnya. Dengan itu, Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya ingin memberikan pendirian kami mengenai perkara ini dari perspektif perundangan akademik.


Definisi Genosid


Menurut Perkara II Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948, tindakan yang berlaku di bawah Perkara ini dikatakan tindakan pembunuhan kaum jika ia dilakukan bersama-sama niat untuk memusnahkan sepenuhnya atau sebahagian, sesebuah negara, etnik, kaum atau kumpulan agama. Tindakan ini termasuk membunuh seseorang daripada kumpulan tersebut, menyebabkan kecederaan fizikal atau mental kepada ahli kumpulan itu, mengenakan keadaan hidup yang memusnahkan fizikal kumpulan tersebut – termasuk menghalang mereka daripada mendapatkan makanan, rawatan perubatan, dan tempat tinggal, serta menetapkan peraturan dengan niat untuk mencegah kelahiran dalam kumpulan, dan secara paksa memindahkan kanak-kanak dari kumpulan itu ke kumpulan lain.


Latar Belakang Kes


Masyarakat Rohingnya adalah golongan Muslim tidak seperti majoriti rakyat Myanmar yang beragama Buddha. Mereka mewakili majoriti golongan Muslim di Myanmar dan kebanyakan daripada mereka tinggal di Rakhine yang terletak di Pantai Barat Myanmar.[i] Mereka tidak terdiri daripada 135 kaum yang diiktiraf di Myanmar. Oleh itu, mereka dinafikan kerakyatan dibawah Undang-Undang Kerakyatan 1982 dan diisytiharkan sebagai pendatang asing tanpa izin dari Bangladesh.[ii]


Pada bulan Oktober 2016, satu pemberontakan bermula dimana kampung-kampung dan punca pendapatan mereka dibakar. Masyarakat Rohingnya dipukul, dirogol atau dikumpul dan kemudian mereka ditikam dan ditembak sehingga mati.[iii] Setelah setahun, lebih 410,000 pelarian Rohingnya telah melarikan diri ke Bangladesh dan kebanyakan daripada mereka telah lemas di Sungai Naf. Serangan ini dimulakan oleh tentera dan pasukan keselamatan. Apabila militan Rohingnya menyerang polis pada 25 Ogos 2017, satu lagi pertempuran berlaku. Tentera Myanmar mendakwa bahawa mereka melawan pemberontak namun mereka yang berjaya melarikan diri dari Myanmar mendakwa ia adalah sebuah kempen untuk menghapuskan kaum Rohingnya.[iv]


Perkembangan Kes di Mahkamah Antarabangsa (ICJ)


Suatu aduan telah dibuat oleh Republik Gambia ke Mahkamah Antarabangsa di The Hague pada 11 November 2019, dan telah mendapat sokongan daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Aduan itu melibatkan jenayah yang telah dilakukan oleh Myanmar terhadap etnik Rohingya di Negeri Rakhine, dimana pelbagai peruntukan di dalam Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid telah dilanggar.


ICJ telah mengesahkan bahawa semua ahli konvensyen mempunyai tanggungjawab untuk mencegah dan menghukum jenayah pembasmian kaum. Gambia yang merupakan ahli Konvensyen Genosid sejak tahun 1978, telah membawa kes di bawah Perkara 9 yang membenarkan negara anggota Konvensyen untuk membawa kes berkaitan kepatuhan negara anggota terhadap Konvensyen tersebut ke ICJ. Gambia juga telah merujuk kepada insiden yang berlaku pada tahun 2017 di mana lebih kurang 730,000 orang Muslim Rohingnya telah meninggalkan Myanmar secara paksa dan menuju ke Bangladesh oleh sebab operasi ketenteraan terhadap mereka. Misi mencari fakta UN telah mengesahkan bahawa operasi ketenteraan tersebut adalah tindakan pembasmian kaum.[v]


Gambia juga membuat tuduhan bahawa Myanmar telah melanggar tanggungjawabnya yang lain di bawah Konvensyen Genosid, antaranya, percubaan untuk melakukan pembasmian kaum, bersekongkol untuk melakukan pembasmian kaum, memulakan pembasmian kaum, gagal untuk mencegah dan menghukum pembasmian kaum, dan gagal untuk meluluskan undang-undang bagi mengaktifkan operasi Perkara-Perkara I, III, dan V Konvensyen Pembasmian Kaum.


Dua bulan kemudian, di atas permohonan Gambia, ICJ telah mengeluarkan suatu perintah mengarahkan Kerajaan Myanmar untuk menerima pakai peruntukan-peruntukan sementara bagi melindungi etnik Rohingya tatkala kes mereka sedang didengari. Keputusan terkemuka ini meletakkan tanggungjawab terhadap kejahatan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya di atas bahu Kerajaan Myanmar sebagai pelaku.


Kes yang dibawa terhadap Myanmar oleh Gambia di hadapan ICJ di bawah Konvensyen Genocide adalah percubaan pertama dan satu-satunya di Mahkamah untuk secara jelas menunjukkan kebersalahan Myanmar ke atas tindakan pembasmian kaum yang mereka lakukan. Myanmar masih belum dipanggil untuk dipertanggungjawabkan terhadap sebarang jenayah antarabangsa, walaupun beberapa kerajaan dan organisasi telah mengenakan sekatan terhadap negara itu.


Pada 23 Januari 2020, ICJ telah mengeluarkan langkah sementara memerintahkan Myanmar untuk melarang sebarang tindakan pembasmian kaum terhadap etnik Rohingya, untuk memastikan bahawa pihak tentera dan badan penguatkuasaan lain tidak melakukan tindakan pembasmian kaum, dan untuk memastikan bukti yang berkaitan dengan kes itu tidak terhapus. Mahkamah memerintahkan Myanmar melaporkan pematuhan dan pelaksanaan langkah sementara tersebut dalam tempoh empat bulan, dan kemudian setiap enam bulan selepas itu. Perintah langkah sementara yang dikeluarkan oleh ICJ adalah mengikat secara sah ke atas pihak-pihak di dalam kes.[vi]


Walau bagaimanapun, bantahan awal telah dibuat pada Januari 2021 oleh Myanmar, yang pada masa itu ditadbir oleh Liga Demokrasi Kebangsaan yang diketuai oleh Aung San Suu Kyi. Bantahan ini mencabar bidang kuasa Mahkamah dan perkaitan Gambia untuk memulakan tuntutan Mahkamah.


Dalam prosiding bantahan awal, Myanmar telah menyatakan dalam bantahan awalnya bahawa Gambia tidak mempunyai perkaitan memandangkan ia mengemukakan permohonannya sebagai 'proksi' untuk entiti serantau, OIC, walaupun ICJ diasaskan untuk mengadili konflik antara negara. Sungguhpun begitu, Mahkamah memutuskan bahawa walaupun Gambia meminta bantuan daripada negara lain atau pertubuhan antara kerajaan, ianya tidak mempunyai kaitan dengan kedudukannya di hadapan Mahkamah.


Kedua, Myanmar menegaskan, seperti yang dikehendaki oleh Perkara 9 Konvensyen Genosid, bahawa tidak ada perselisihan pendapat antara Gambia dan Myanmar mengenai makna, pelaksanaan atau pematuhan konvensyen tersebut. Mahkamah memutuskan bahawa konflik boleh timbul daripada perbincangan awam dan persendirian dan tidak perlu berlaku secara terang-terangan. ICJ merujuk perspektif berbeza Gambia dan Myanmar mengenai misi mencari fakta, yang mendapati bahawa "Myanmar melanggar komitmennya dibawah Konvensyen Genosid untuk tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai." Gambia secara aktif menyokong untuk menerima pakai cadangan misi mencari fakta, manakala Myanmar menolak hasil siasatan misi itu sebagai berat sebelah. Mahkamah memutuskan bahawa, antara lain, kenyataan ini membentuk percanggahan pendapat mengenai peristiwa yang didakwa dilakukan oleh Myanmar, dan tanggungjawab Myanmar di bawah Konvensyen Genosid.


Ketiga, Myanmar menegaskan bahawa pengecualiannya terhadap operasi Perkara 8 Konvensyen Genosid, yang memberi kuasa kepada negara-negara anggota Konvensyen untuk menyeru organ-organ PBB yang kompeten untuk mengambil tindakan bagi mencegah dan menindas pembunuhan beramai-ramai, menghalang sesebuah negara daripada meneruskan prosiding di ICJ, kerana ICJ sendiri merupakan agensi PBB. Walau bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa Perkara 9 dengan jelas memberikan bidang kuasa ke atas ICJ terhadap isu yang melibatkan pelaksanaan Konvensyen Pembasmian Kaum. Oleh itu, mahkamah membuat kesimpulan bahawa tujuan kedua-dua perkara itu adalah berbeza dan pengecualian kepada Perkara 8 tidak terpakai kepada Perkara 9. Mahkamah mendapati Myanmar tidak membuat sebarang pengecualian kepada Perkara 9.


Myanmar menyatakan bahawa oleh sebab Gambia tidak terkesan oleh dakwaan pelanggaran Konvensyen Genosid, ia tidak mempunyai hak undang-undang untuk membawa kes terhadap Myanmar. Mahkamah memutuskan bahawa semua yang menandatangani Konvensyen itu mempunyai kepentingan untuk menjamin genosid dicegah dan pelakunya dihukumi. Akibatnya, mana-mana negara, bukan sahaja negara yang terjejas oleh sebarang pelanggaran Konvensyen, boleh memfailkan tuntutan terhadap negara lain untuk menguatkuasakan pematuhan terhadap Konvensyen ini.


Kes itu kemudiannya diteruskan, dan dari 21 hingga 28 Februari 2022, ICJ mengadakan pendengaran awam mengenai bantahan awal Myanmar. Perbicaraan yang bermula pada 21 Februari 2022 menonjolkan betapa pentingnya untuk mencari keadilan terhadap ketidakadilan yang dialami oleh etnik Rohingya yang dilakukan oleh tentera Myanmar. Selepas empat hari ICJ bersidang untuk menentukan bidang kuasa ICJ untuk meneruskan prosiding, kes Pembasmian Kaum oleh Myanmar selesai di The Hague pada 28 Februari. Seterusnya, ICJ akan membuat keputusan mengenai bantahan awal, yang akan menentukan sama ada kes itu boleh diteruskan mengikut merit ataupun tidak.[vii]


Maklum Balas-Maklum Balas Antarabangsa oleh Orang Awam


Setelah berita mengenai Pembasmian Kaum yang dilakukan oleh Myanmar diketahui masyarakat antarabangsa, pentadbiran Biden telah mengisytiharkan bahawa tentera Myanmar telah melakukan tindakan Pembasmian Kaum terhadap etnik minoriti Rohingya.[viii] Di Muzium Memorial Holokaus Amerika Syarikat di Washington DC, Setiausaha Negara, Encik Anthony Blinken telah menggelar serangan terhadap Rohingya sebagai "berleluasa dan sistematik".


Di samping itu, Pertubuhan Amnesti juga telah mengkritik hebat kekurangan kebebasan bersuara dan berpersatuan orang ramai.[ix] Sebagai contoh, kerajaan pimpinan tentera Myanmar mengumumkan pindaan terhadap Kanun Keseksaan di mana barangsiapa yang mempunyai niat untuk mengkritik dan membuat kritikan yang dilemparkan terhadap kerajaan akan dihukum.


Seksyen 505(a) telah ditambah, yang menjadikan komen yang "menyebabkan ketakutan" dan menyebarkan "berita palsu", serta menjenayahkan individu "melakukan atau menggusarkan, secara langsung atau tidak”, sebagai suatu kesalahan jenayah terhadap kakitangan kerajaan.[x] Kesalahan di bawah peruntukan ini akan membawa kepada hukuman penjara sehingga 3 tahun. Peruntukan baharu turut diperkenalkan dalam Kanun Tatacara Jenayah yang membenarkan penggeledahan, penyitaan, tangkapan, pengawasan dan pemintasan komunikasi berlaku tanpa waran.


Ada kalanya, pihak berkuasa tentera akan mengenakan penutupan internet dan telekomunikasi di seluruh negara, sebagai kaedah untuk menyekat orang ramai daripada menyuarakan ketidakpuasan hati mereka melalui medium media sosial, yang pada asasnya, melanggar hak kebebasan bersuara. Tindakan ini sering dilihat di kawasan yang terdapat operasi ketenteraan, seperti di Bandar Hpakant di Negeri Kachin di mana perkhidmatan internet dan WiFi digantung malah rangkaian telefon mudah alih juga terputus.


Pada tahun 2021, berikutan pindaan utama yang menyekat hak undang-undang warganegara, pihak berkuasa tentera telah menutup sekurang-kurangnya lima penerbitan berita bebas dan membatalkan lesen lapan saluran media. Sekurang-kurangnya 98 wartawan telah ditangkap berikutan rampasan kuasa dan seorang wartawan, Ko Soe Naing, meninggal dunia dalam tahanan.[xi]


Sehingga kini, serangan masih dilakukan secara konsisten terhadap orang awam. Dari segi pendidikan, pada tahun 2021, kira-kira 12 juta kanak-kanak (ianya meningkat setiap tahun) dan golongan muda tidak mendapat akses kepada pendidikan formal kerana konflik bersenjata, pihak berkuasa tentera dan sekatan Covid-19.[xii]


Reaksi Malaysia dan Pendirian Kami


Pada tahun 2019, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Myanmar perlu menyelesaikan krisis Rohingnya dan mengatakan bahawa pembunuhan kaum adalah satu bentuk “pembersihan kaum”.[xiii] Zafar Ahmad Abdul Ghani, ketua Organisasi Hak Asasi Manusia Etnik Rohingnya Myanmar juga menggesa kerajaan untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Pengadilan Antarabangsa dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mendakwa tentera Myanmar.[xiv]


Persatuan Undang-Undang UM juga ingin mengikuti pendirian Malaysia dengan berdiri bersama-sama semangat undang-undang dan mengutuk kekejaman tentera Myanmar. Kerajaan Malaysia seharusnya mengkaji semula perlakuan negara terhadap golongan pelarian serta menyemak semula polisi-polisi yang berkaitan serta membolehkan pelarian Rohingnya untuk sama-sama menyumbang kepada ekonomi negara dan bukannya menahan mereka selaku pendatang tanpa izin. Inilah masa untuk menghentikan kekejaman dan mendengar suara mereka yang terkesan dengan kekejaman ini.


Persatuan Undang-Undang UM 21/22

## Jun 2022

Emel: lawsocietyum@gmail.com

Laman Sesawang: www.umlawsociety.com


[i] BBC News. (2020, January 23). Myanmar Rohingya: What you need to know about the crisis. https://www.bbc.com/news/world-asia-41566561

[ii] BROUK. (2014, December). A Briefing by Burmese Rohingya Organisation UK: Myanmar’s 1982 Citizenship Law and Rohingya. https://burmacampaign.org.uk/media/Myanmar%E2%80%99s-1982-Citizenship-Law-and-Rohingya.pdf

[iii] United Nations Human Rights Office of the High Commissioner. (2017, February 3). Report of OHCHR mission to Bangladesh: Interviews with Rohingyas fleeing from Myanmar since 9 October 2016. https://www.ohchr.org/en/press-releases/2017/02/devastating-cruelty-against-rohingya-children-women-and-men-detailed-un?LangID=E&NewsID=21142

[iv] BBC News. (2017, September 19). Myanmar: What sparked latest violence in Rakhine?. https://www.bbc.com/news/world-asia-41082689

[v] United Nations. (2019, November 11). ICJ – The Gambia v. Myanmar. https://iimm.un.org/icj-the-gambia-v-myanmar/

[vi] Global Justice Center. (2020, May 20). Q&A: The Gambia v. Myanmar, Rohingya Genocide at The International Court of Justice, May 2020 Factsheet. https://www.globalr2p.org/publications/myanmarqav2/

[vii] Human Rights Watch. (2022, February 14). Developments in Gambia’s Case Against Myanmar at the International Court of Justice. https://www.hrw.org/news/2022/02/14/developments-gambias-case-against-myanmar-international-court-justice

[viii] CNN Politics. (2022, March 22). Biden Administration Formally determine Myanmar’s Millitary commited Genocide. https://edition.cnn.com/2022/03/20/politics/biden-administration-myanmar-military-genocide/index.html

[ix] Amnesty International. (2022, March 21). Myanmar: Momentum for Justice as US to label Rohingya crackdown genocide. https://www.amnesty.org/en/latest/news/2022/03/us-myanmar-rohingya-genocide/

[x] Section 505 of Penal Code (Myanmar)

[xi] al-Jazeera. (2021, Dec 15). Myanmar Journalist reported to have died during custody. https://www.aljazeera.com/news/2021/12/15/myanmar-4

[xii] Amnesty International. (2022, March 21). Myanmar: Momentum for Justice as US to label Rohingya crackdown genocide. https://www.amnesty.org/en/latest/news/2022/03/us-myanmar-rohingya-genocide/

[xiii] South China Morning Post. (2019, Sept 25). Mahathir blasts Myanmar and United Nations over Rohingya‘genocide’. https://www.scmp.com/news/asia/southeast-asia/article/3030350/mahathir-blasts-myanmar-and-united-nations-over-rohingya

[xiv] Free Malaysia Today. (2022, April 23). Take Myanmar to court, Rohingya activist tells Putrajaya. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/04/23/take-myanmar-to-court-rohingya-activist-tells-putrajaya/






bottom of page