• UM Law Society

KEPERLEMBAGAAN SEKOLAH VERNAKULAR DI MALAYSIA

“Pelaburan dalam ilmu pengetahuan akan sentiasa menguntungkan”

Benjamin Franklin, 1758


Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya ingin merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang baru-baru ini menolak saman mencabar kewujudan sekolah vernakular di Malaysia. Sekolah vernakular merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan negara seperti yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996.[i] Berikutan kes saman tersebut, isu mengenai keperlembagaan sekolah vernakular di Malaysia kembali mendapat perhatian ramai. Oleh hal yang demikian, Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya ingin membincangkan isu tersebut dari perspektif akademik undang-undang.


Pada bulan Disember 2019, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) telah memulakan saman terhadap 13 defendan, termasuk Menteri Pendidikan dan pihak kerajaan. Parti-parti politik seperti Kongres India Malaysia (MIC), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Gerakan turut dinamakan sebagai defendan. Ringkasnya, plaintif-plaintif memohon untuk suatu perisytiharan mahkamah bahawa kewujudan sekolah-sekolah vernakular – SJK(C) atau SJK(T) – adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana Perkara 152(1) memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini demikian kerana sekolah-sekolah vernakular menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai medium pengajaran dan pembelajaran, berbeza dengan sekolah-sekolah kebangsaan. Mohamed Haniff Khatri Abdullah, peguam yang mewakili GPMS dan MAPPIM, berhujah bahawa sekolah-sekolah vernakular menjejaskan kaum-kaum bukan Bumiputera kerana ianya akan mengurangkan peluang pekerjaan bagi pelajar-pelajar berikutan penguasaan bahasa Melayu mereka yang lemah. Datuk Seri Gopal Sri Ram, peguam bagi Majlis Bahasa Cina Malaysia (MCLC), sebaliknya berhujah bahawa plaintif-plaintif tidak mempunyai locus standi untuk memulakan saman di Mahkamah.[ii] Kes ini juga secara tidak langsung telah menimbulkan persoalan sama ada tujuan plaintif-plaintif sebenarnya bermotifkan sifat perkauman.


Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menolak saman tersebut yang menggesa pihak kerajaan untuk memansuhkan pendidikan berasaskan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. Mahkamah mempertimbangkan sama ada Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah-sekolah vernakular, bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah juga mempertimbangkan sama ada kewujudan sekolah-sekolah vernakular bertentangan dengan Perkara 5, 8, 10, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.[iii]


Bagi persoalan pertama, Mahkamah memutuskan bahawa Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan tidak melarang penggunaan bahasa bukan kebangsaan, selagi mana ianya bukan untuk tujuan rasmi. Selanjutnya, Mahkamah memutuskan bahawa sekolah vernakular atau sekolah jenis kebangsaan tidak tertakluk di bawah peruntukan Akta Pendidikan 1996 yang memperuntukkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai pengantar. Hal in kerana sekolah vernakular bukan pihak berkuasa mahupun badan berkanun.[iv] Lantaran itu, hakim memutuskan bahawa sekolah-sekolah vernakular tidak bertentangan dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.


Bagi persoalan kedua, Mahkamah memutuskan bahawa pihak plaintif gagal membuktikan bagaimana kewujudan sekolah vernakular melanggar hak-hak asasi seseorang seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, memandangkan kemasukan ke sekolah-sekolah vernakular adalah berdasarkan pilihan bebas. Oleh sebab itu, hakim memutuskan bahawa hujah yang mengatakan kewujudan sekolah vernakular bertentangan dengan Perkara 5, 8, 10, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas. Hal ini dikatakan demikian kerana Perkara 152(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan membenarkan penggunaan bahasa lain bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.[v]


Dengan ini, sekolah-sekolah vernakular di Malaysia adalah berperlembagaan, dan pendidikan berasaskan bahasa lain seperti bahasa ibunda kaum dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, hakim menjelaskan bahawa keputusannya adalah berdasarkan pentafsiran Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan, dan beliau tidak mengambil kira aspek-aspek lain seperti fungsi bahasa kebangsaan dalam pembangunan identiti nasional dan perpaduan, atau pembinaan negara bangsa. Hakim menjelaskan bahawa isu-isu seperti kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah, serta keterbukaan sistem pendidikan nasional adalah untuk pihak kerajaan dan ahli-ahli parlimen ambil maklum dan selesaikan.[vi]


Sungguhpun begitu, pada tahun 1982, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menolak permohonan penubuhan Universiti Merdeka (MU), yang ingin menggunakan bahasa Cina sebagai pengantar utama, adalah berperlembagaan dan tidak menyalahi undang-undang. Hal ini kerana, sebuah universiti merupakan pihak berkuasa awam serta penggunaan bahasa di universiti adalah untuk tujuan rasmi. Dengan ini, bahasa yang perlu digunakan ialah bahasa Melayu, seperti yang diperuntukkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.[vii]


Mahkamah menjelaskan bahawa keputusannya pada tahun 2021 ini berbeza daripada keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 1982 kerana institusi yang terlibat di dalam kes 2021 ini adalah sekolah rendah, di mana penggunaan bahasa di sekolah rendah bukan untuk tujuan rasmi. Oleh sebab itu, peruntukan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai. Selain itu, Freedman (2001) mengatakan Tunku Abdul Rahman, bapa kemerdekaan Malaysia, telah menegaskan bahawa setiap kaum mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan dalam bahasa ibunda mereka.[viii]


Menurut KPM, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Ibunda (POL), masih dilaksanakan di mana sekiranya terdapat 15 atau lebih ibu bapa di sekolah-sekolah SJK(C), SJK(T) atau SMK yang memohon supaya bahasa ibunda mereka diajar, pihak sekolah perlu menyediakan mata pelajaran bahasa tersebut.[ix] Walau bagaimanapun, menurut Encik Kua Kia Soong, Pengarah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dasar ini tidak dilaksanakan secara serius oleh kerajaan yang kini telah menyebabkan kemerosotan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda pelajar. Selain itu, sejak kemerdekaan, populasi komuniti Cina dan Tamil di Malaysia telah bertambah dengan mendadak, tetapi jumlah sekolah vernakular berkurangan.[x]


Di peringkat antarabangsa, Perisytiharan Hak Linguistik Sejagat (UDLR), telah mengisytiharkan bahawa hak untuk memelihara dan memulihara identiti dan budaya bangsa seseorang merupakan hak yang amat penting. Hak ini termasuk hak sesebuah komuniti untuk mendapatkan pendidikan menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai pengantar utama, bagi membolehkan mereka menguasai bahasa tersebut.[xi] Walaupun hak ini mendapat kritikan beberapa pihak, tetapi sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeliharaan dan pemuliharaan bahasa ibunda seseorang adalah sangat penting.


Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi telah memberi jaminan bahawa kewujudan sekolah-sekolah vernakular tidak bertentangan dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan sebaliknya mengizinkan proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan dalam bahasa lain.[xii] Adalah penting untuk peruntukan di bawah Perkara 152(1)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu “tiada apa-apa jua dalam Fasa ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan”, diberikan penekanan.[xiii] Semua pihak mempunyai kebebasan untuk memelihara identiti bangsa masing-masing demi mempertahankan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum. Usaha ini sejajar dengan seruan UDLR yang menegaskan kepentingan melindungi bahasa dan budaya sesebuah komuniti melalui pendidikan. Oleh hal yang demikian, kita perlu akui bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang berkepelbagaian di mana kita sebagai rakyat mempunyai keistimewaan untuk belajar mengenai budaya bangsa-bangsa berbeza yang terdapat di Malaysia. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut amatlah dialu-alukan, dan dalam menjalani kehidupan seharian, janganlah kita lupa bahawa apa yang penting ialah hidup bersatu-padu dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Persatuan Undang-Undang UM 21/22

27 Januari 2022 E-mel: lawsocietyum@gmail.com Laman sesawang: www.umlawsociety.com


[i] Tiah, R. (2021, October 12). The Constitutionality of Vernacular Schools in Malaysia. Durham Asian Law Journal. Retrieved January 15, 2022 from https://www.durhamasianlawjournal.com/post/the-constitutionality-of-vernacular-schools-in-malaysia.

[ii] Khairulrijal, R. (2021, November 24). Decision on Vernacular Schools. New Straits Times. Retrieved January 15, 2022 from https://www.nst.com.my/news/crime-courts/2021/11/748362/dec-29-decision-vernacular-schools-issue.

[iii] Buang, S. (2022, January 3). Understanding the High Court's decision on constitutionality of vernacular schools. New Straits Times. https://www.nst.com.my/opinion/columnists/2022/01/759795/understanding-high-courts-decision-constitutionality-vernacular.

[iv] Anbalagan, V. (2021, December 30). Vernacular schools were recognised even before Merdeka, says judge. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2021/12/30/vernacular-schools-were-recognised-even-before-merdeka-says-judge-in-ruling/.

[v] Dzulkifly, D. (2021, December 29). Court rules vernacular schools constitutionally protected, throws out Malay-Muslim group’s suit. The Malay Mail. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2021/12/29/court-rules-vernacular-schools-constitutionally-protected-throws-out-malay/2031761.

[vi] Bernama. (2021, December 29). High Court rules vernacular schools are constitutional. MalaysiaNow. https://www.malaysianow.com/news/2021/12/29/high-court-rules-vernacular-schools-are-constitutional/.

[vii] Merdeka University Berhad v Government of Malaysia [1982] 2 MLJ 243.

[viii] Freedman, A. L. (2001). The Effect of Government Policy and Institutions on Chinese Overseas Acculturation: The Case of Malaysia. Modern Asian Studies, 35(2), 411-440. http://www.jstor.org.ezproxy.um.edu.my/stable/313123.

[ix] Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016). Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Ibunda atau Pupils' Own Language (POL) di sekolah. https://www.moe.gov.my/en/pemberitahuan/media-statement/pelaksanaan-pengajaran-dan-pembelajaran-bahasa-ibunda-atau-pupils-own-language-pol-di-sekolah.

[x] Mother-tongue education has regressed. (2021, November 25). Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2021/11/25/mother-tongue-education-has-regressed/.

[xi] Stanton, D. C. (2005). On linguistic human rights and the United States "foreign" language crisis. Profession, 64-79. http://www.jstor.org.ezproxy.um.edu.my/stable/25595800.

[xii] Federal Constitution (Malaysia) Art 152(1).

[xiii] Federal Constitution (Malaysia) Art 152(1)(b).